SHAH ALAM – Sektor koperasi sekolah mampu mencapai perolehan lebih RM400 juta tahun ini selepas mengalami penyusutan ketara sejak pandemik Covid-19.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, keyakinan itu bersandarkan pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian perniagaan dijalankan koperasi tersebut.
Kata beliau, statistik Interim Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan koperasi sekolah menyumbang perolehan RM211.6 juta tahun lalu.
“Namun, kita yakin perolehan tahun ini akan melebihi jumlah itu menerusi penglibatan serius semua pihak termasuk kementerian dan agensi berkaitan,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Hari Koperasi Sekolah (HKS) di sini, malam tadi.
Berdasarkan statistik Interim itu, koperasi berkenaan kini dianggotai lebih 1.9 juta orang di 2,473 sekolah di seluruh negara.
Jelas Abdul Fattah, koperasi itu menjadi platform kepada pelajar sekolah mendapat latihan keusahawanan dan memupuk nilai kerjasama, kesaksamaan dan perpaduan.
Tambah beliau, penjanaan itu bukan untuk keuntungan semata-mata malah koperasi dapat menjual keperluan pelajar, guru dan sekolah pada harga lebih murah. – KOSMO! ONLINE