PETALING JAYA – Penyanyi Lah Ahmad memohon maaf kepada penonton yang hadir ke konsert 25 Years Lah Ahmad Live malam tadi kerana gagal menyanyikan lagu Di Pintu Syurga dengan baik gara-gara terlalu sebak sehingga menitiskan air mata.
Lagu dendangan asal penyanyi Dayang Nurfaizah itu dinyanyikan Lah atau nama lengkapnya Abdullah Ahmad ketika segmen tribute untuk dua orang rakan artis yang telah meninggal dunia iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dan Allahyarham Adibah Noor.
“Saya minta maaf kepada hadirin semua kerana gagal menyanyikan lagu ini (Di Pintu Syurga) dengan sempurna. Saya gagal menahan rasa sebak mengenangkan pemergian kedua-dua insan seni ini,” ujarnya.
Sewaktu memasuki rangkap pertama, kedengaran suara penyanyi berusia 42 tahun itu bergetar kerana menahan sebak sebelum nyanyiannya terhenti seketika.
Hampir 1,000 orang penonton yang hadir menyaksikan persembahan Lah di Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC) kemudiannya bersorak dan menyambung lirik lagu tersebut bagi mengembalikan semula semangatnya.
Ujar bekas anggota kumpulan V.E itu, pemergian Siti Sarah dan Adibah Noor dianggap sebagai satu kehilangan selain mengingatkan dirinya tentang kematian yang akan tiba.
“Sarah adalah antara sahabat seperjuangan saya ketika kami sama-sama muncul dalam industri. Antara momen yang paling saya ingat apabila Sarah memberitahu bagaimana suaminya, Shuib memikat hatinya dengan menggunakan lagu Ayu (nyanyian V.E).
“Adibah Noor atau saya panggil Kak Dib pula saya sudah anggap sebagai kakak saya. Kami boleh berbual tentang apa sahaja. Kak Dib adalah antara insan yang baik dan selalu mengambil berat tentang saya. Pemergian mereka memang satu kehilangan,” ujarnya.
Pada konsert yang dianjurkan bersempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industeri muzik tanah air itu, Lah menyanyikan sebanyak 18 buah lagu antaranya Selamat Datang Cinta, Ini Ceritaku, Kenapa, Adinda dan Kerna Sayang.
Selain tampil solo, Lah juga turut bergabung bersama kumpulan nasyid In-Team menerusi lagu popular mereka, Kasih Kekasih, Shazzy (Kenapa) dan Aina Abdul yang menyanyikan lagu berjudul Tunggu Kamu. – KOSMO! ONLINE