TREND self healing atau penyembuhan diri daripada stres kini menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Rata-rata orang ramai berpendapat bahawa kehidupan yang sibuk boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan jika tidak dikawal.
Bagaimanapun, perkara itu dilihat telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak terutama golongan muda sehingga menjadikannya sebagai alasan untuk menghilangkan diri.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan kehilangan seorang pelajar universiti awam dan seorang pelajar sekolah asrama sehingga menimbulkan kegusaran banyak pihak khususnya ahli keluarga.
Setelah ditemui, alasan self healing yang diberikan mengundang pelbagai reaksi negatif sekali gus memberi impak kepada isu keselamatan sosial.
Meskipun mempunyai niat yang baik, namun alasan itu disifatkan sebagai suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Bukan sahaja membuatkan orang terdekat risau, malah turut menyusahkan pihak berkuasa kerana terpaksa bertungkus-lumus melaksanakan operasi pencarian.
Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kegiatan self healing tidak salah jika masyarakat mampu mengenal pasti jenis dan cara yang sesuai dengan situasi yang dihadapi.
“Ini kerana, impaknya sangat positif jika setiap individu sedar tanggungjawab terhadap pengurusan diri.
“Namun, ia menjadi kesalahan apabila individu memandai-mandai dalam mengambil tindakan daripada respons yang diterima secara terbuka, seterusnya boleh memudaratkan diri sendiri.
“Sebaiknya, mereka berbincang dan mendapatkan bantuan daripada tenaga pakar yang bertauliah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujar Siti Fatimah, tindakan menyalahgunakan konsep self healing adalah tidak wajar kerana pastinya akan meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat.
“Antara yang terkesan adalah dari segi pemikiran (fahaman dan corak fikir), perasaan (emosi yang tidak harmoni dan mudah terganggu) serta tindakan (tingkah laku).
“Keadaan itu mungkin menyebabkan langkah yang diambil tidak bersesuaian dengan rawatan yang sepatutnya diterima secara psikologi atau intervensi,” jelasnya.
Tambahnya, trend berkenaan berpunca daripada pengaruh media sosial menyebabkan semua hal yang dimuat naik secara terbuka tanpa mengambil kira kesesuaian.
Justeru, katanya, pemantauan berterusan dari aspek kaunseling adalah langkah proaktif yang wajar disediakan pihak sekolah dan institut pengajian tinggi sebagai usaha untuk membantu mereka yang memerlukan.