NAMA Universiti Malaya (UM) sekali lagi menjadi bualan dunia selepas berjaya mengharumkan nama Malaysia di Jilin, China baru-baru ini.
Kejayaan tersebut ditempa oleh seorang pelajar Sarjana Pengajian Media UM menerusi dokumentari, Wanita Bidayuh Bergelang Tembaga.
Pelajar tersebut memenangi hadiah bagi kategori Audio Visual Program Kreatif Cemerlang-Dokumentari Pendek.
Menurut pemenangnya, Rosli Mohd. Nordin, dokumentari yang dihasilkannya itu merupakan projek tahun akhir pengajian dan tidak pernah menyangka ia mampu diterima semua.
Katanya, pertandingan itu diadakan bersempena Pameran Pertukaran Video Pendek Pelajar-Pelajar Negara Asia 2022.
Ia dianjurkan oleh Jilin Animation Institute bersama Jabatan Informasi Wilayah Jilin dan Persatuan Budaya Antarabangsa Wilayah Jilin.
Jelas Rosli lagi, sejujurnya, dia betul-betul tidak menyangka dipilih sebagai pemenang bagi kategori tersebut memandangkan penyertaannya dihantar pada saat-saat akhir.
Tambahan pula katanya, dia perlu bersaing dengan puluhan pelajar berbakat lain dari seluruh Asia.
“Penyelaras bagi pelajar sarjana di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM, Dr. Fadli Abdullah ada berkongsi poster pertandingan tersebut dalam aplikasi WhatsApp kepada semua pelajar.
“Saya mengambil serius dengan memberanikan diri menyertai pertandingan ini.
“Lagi pula, dokumentari pendek yang saya sediakan bagi projek tahun akhir pengajian peringkat sarjana memenuhi syarat-syarat pertandingan ini.
“Pelbagai persiapan rapi saya lakukan seperti menyediakan sari kata bahasa Inggeris, saiz dan kualiti visual serta dokumen sokongan yang diperlukan oleh pihak penganjur,” katanya kepada iGen.
Akui Rosli yang juga merupakan Penerbit Rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), perkara tersebut nampak mudah tetapi ada cabaran tersendiri yang perlu dilaluinya.
Jelas anak jati kelahiran Perak itu, keperluan dalam memenuhi setiap syarat kelayakan tersebut agak rigid dan perlu diikuti satu persatu.
“Ia nampak mudah, namun agak mencabar sebenarnya lebih-lebih lagi saya masuk pertandingan ini pada saat-saat akhir.
“Namun, dengan bantuan semua pihak yang terlibat, saya dapat lakukan yang terbaik sehingga melayakkan penyertaan saya dipilih juri profesional sebagai pemenang,” ujarnya.
Menerusi pertandingan tersebut, Rosli berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,300 beserta sijil penyertaan. Malangnya, dia tidak dapat menghadirkan diri ke China pada hari pengumuman pemenang.
Pameran Pertukaran Video Pendek Pelajar-pelajar Negara Asia 2022 tersebut terbuka kepada para pelajar dari Asia seperti Thailand, Korea, Vietnam, Jepun, Indonesia, Turki dan sebagainya.
Objektif pertandingan bertemakan Demi Masa Depan Bersama itu adalah untuk menggalakkan para belia di Asia menterjemahkan kreativiti mereka melalui aspek budaya yang dipindahkan kepada bentuk audio-visual.
Pada masa sama, pertandingan itu sebagai langkah memupuk persefahaman yang dapat membentuk konsep saling hormat-menghormati dalam kalangan belia di Asia.
Sementara itu, mengulas mengenai karyanya, Rosli memberitahu, Wanita Bidayuh Bergelang Terakhir menceritakan mengenai empat wanita Bidayuh yang masih setia memakai gelang tembaga.
Katanya, gelang itu merupakan salah satu warisan etnik tersebut yang kini diancam kepupusan.
“Singai Nekan, Anet@Anat Umgom, Tawud Luhan dan Dashin Ngarong masih memakai gelang tembaga yang dikenali sebagai ruyang (tangan), rasung (kaki) serta tumbih (rantai leher).
“Budaya berusia lebih 400 tahun bagi wanita Bidayuh ini semakin hilang daripada hidup etnik berkenaan.
“Keempat-empat wanita ini semakin meniti usia, sedangkan generasi muda tiada yang ingin mewarisinya,” ujarnya.
Video dokumentari tersebut boleh ditonton di laman YouTube, Magic Fingers yang kini sudah meraih hampir 5,000 tontonan.