PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan sesi wacana sambil berdialog bersama rakyat Malaysia yang menetap di Singapura petang tadi.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Anwar berkata sesi wacana tersebut di hoskan oleh seorang sosiologis, Profesor Syed Farid Al-Attas bertempat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.
“Saya tegaskan sebagai rakyat Malaysia di luar negara, mereka merupakan duta kepada negara serta budaya kita yang berencam.
“Saya juga nyatakan bahawa rakyat Malaysia di luar negara pastinya akan terus menyumbang ke arah perkembangan ekonomi dan pembangunan Malaysia,” katanya.
Anwar berkata, rakyat Malaysia yang menetap di Singapura juga perlu memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Semoga mereka terus menjaga nama baik negara dan pamerkan sahsiah and akhlak yang tinggi,”ujarnya.
Terdahulu, Anwar tiba di Singapura pagi tadi dalam sesi lawatan rasmi sambil diiringi isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin lain.
Ketibaan Anwar dan delegasi Malaysia disambut disambut Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan bersama beberapa pemimpin lain.
Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.-KOSMO! ONLINE