PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di beberapa kawasan perairan negara hingga esok (31 Januari).
MetMalaysia dalam laman sesawangnya memaklumkan amaran kategori ketiga membabitkan kejadian angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak melebihi 4.5 meter (m) dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata jabatan itu.
Amaran kenaikan paras air laut turut dikeluarkan MetMalaysia yang dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga esok dan keadaan itu berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi aktiviti perkapalan hingga esok.
“Amaran kategori ketiga membabitkan fenomena angin kencang timur laut dengan kelajuan melebihi 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Tioman, Condore, utara Bunguran dan Reef North.
“Bagi amaran kategori kedua pula angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Samui, selatan Bunguran, tenggara Reef North, utara Reef South, Layang-Layang dan barat Palawan,” ujarnya.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan selatan Reef South, Labuan dan timur Palawan.
Dalam pada itu, amaran hujan lebat berterusan kategori buruk juga dikeluarkan dan dijangka berlaku di Sarawak iaitu di daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sibu (Sibu dan Selangau) dan Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah) dan Sabah melibatkan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat hingga Rabu (1 Februari).
“Bagi amaran kategori waspada hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Pahang di Kuantan, Pekan dan Rompin; Johor di daerah Mersing dan Kota Tinggi; Sarawak di Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Kanowit), Mukah (Tanjung Manis), Kapit (Song) dan Bintulu dan Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan) hingga Rabu ini,” katanya.
Amaran hujan tahap waspada pada hari ini, dijangka berlaku di negeri Kelantan dengan daerah terlibat iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh manakala Terengganu melibatkan semua daerah. – KOSMO! ONLINE