KEGAGALAN pengadil dari Serbia mengawal perlawanan menyaksikan aksi persahabatan melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang kelab Bulgaria, Levski Sofia di Dubai awal pagi semalam terpaksa ditamatkan lebih awal.
Menurut komen Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT di laman Instagram pasukan, pengadil yang tidak didedahkan namanya itu tidak bersikap adil dan gagal mengawal permainan sebaiknya.
“Pasukan lawan melakukan terjahan tiada kad kuning. JDT jadi benteng berapa meter pun kena kad kuning. Bagi saya pengadil dari Serbia gagal mengawal perlawanan.
“Nombor 30 (pemain Levski Sofia) ludah ke muka Leandro dan menyepak Leandro tiada kad, dari situ mulanya perlawanan jadi agresif dan tertekan.
“Mungkin mereka tidak boleh terima sebuah kelab kecil dari Asia mendahului 1-0 lawan kelab Eropah,” katanya menerusi komen tersebut.
Situasi tersebut menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-54 selepas pasukan lawan tidak mempunyai semangat kesukanan selain sikap berat sebelah yang dilakukan oleh pengadil.
Sebelum perlawanan itu berakhir, skuad Harimau Selatan kendalian Esteban Solari berjaya mendahului lawan 1-0 menerusi ledakan Juan Muniz pada minit ke-24.
Ini adalah perlawanan kedua skuad Harimau Selatan dalam siri Jelajah Pramusim di Dubai selepas tewas kepada kelab Russia, FC Rostov 0-2 pada perlawanan pertama Rabu lalu.
Selepas ini JDT dijadualkan bertemu dua lagi kelab Russia, FC Lokomotiv Moscow serta juara liga, Zenit St. Petersburg sebelum menamatkan saingan pramusim di Asia Barat awal bulan depan.