Ditikam belakang dengan orang terdekat angkara cemburu apabila dirinya mahu berkecimpung dalam industri hiburan membuatkan Noor Zeaty Alia Sazali lebih semangat untuk menceburi bidang ini.
Malah Noor Zeaty, 24, atau lebih mesra dipanggil Zea langsung tidak mempedulikan kata-kata kesat orang yang cuba menjatuhkan dirinya, sebaliknya menganggap perkara itu satu cabaran.
Lantaran itu, gadis tinggi lampai yang berasal dari Kuala Lumpur ini memulakan pengajian dalam bidang seni kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk memantapkan lagi pengetahuannya dalam industri hiburan.
Kepada Kosmo! Ahad, Zea menceritakan kisah hidupnya sebagai seorang pempengaruh dan pemilik perniagaan biskut dalam usaha menceburi industri hiburan.
Kosmo! Ahad: Kongsikan latar belakang diri Zeaty?
Zeaty: Saya adalah pewaris kepada cucu seniman negara iaitu Khadijah Awang. Saya mahu meneruskan legasi keluarga iaitu tarian seni tradisional Mak Yong.
Apakah cabaran terbesar yang dihadapi sebagai seorang pempengaruh?
Cabaran utama adalah masa kerana Zea terlalu sibuk dengan dunia luar dan bisnes sendiri. Untuk buat satu konten memerlukan kerahan idea baharu, namun saya masih ingin melakukannya walaupun secara perlahan.
Sejak bila mula mendapat pengikut di media sosial?
Ia bermula pada 2019 apabila Zea sering berinteraksi dengan pengikut mengenai idea untuk berpakaian, tips untuk mengedit video serta beberapa konten berbayar. Ia membuatkan saya semakin bersemangat untuk membuat konten.
Bagaimana mengendalikan komen berunsur kecaman?
Ada beberapa ciapan Zea yang tular menerima kecaman kerana mereka tidak bersetuju dengan kenyataan saya, namun Zea tidak suka bergaduh di media sosial, kalau nampak ada komen yang tidak berasas, Zea akan terus padam sahaja.
Apakah pengalaman tidak dapat dilupakan?
Banyak sangat dan antaranya adalah Zea dibuang rakan, ditikam belakang oleh orang yang dipercayai, tetapi saya percaya mungkin Allah hendak gantikan sesuatu yang lebih baik. Zea sangat bersyukur kerana masih lagi di kelilingi dengan keluarga dan sahabat yang baik.
Apakah perancangan masa hadapan?
Sebagai pemilik bisnes biskut The.Manisz, semestinya Zea ingin lebarkan lagi sayap perniagaan kerana Zea hendak membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai. Pada masa sama, sebagai pelajar seni, Zea juga ingin ke dunia lakonan dan pemodelan.
Ciri-ciri lelaki idaman Zea?
Zea suka sangat lelaki spontan, memahami dan tidak panas baran. Saya juga inginkan lelaki yang pandai cari duit kerana sekarang kita hidup pada zaman ekonomi yang sangat mencabar.
Apakah pengajaran daripada hubungan sebelum ini?
Zea tidak mahu bercinta melebihi dua hingga tiga tahun tanpa ada sebarang ikatan kerana perkara itu sangat membazir masa. Kalau seseorang itu tiada niat atau usaha untuk halalkan Zea, lebih baik Zea tinggalkan terus dia.