IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di taman tema air, Lost World Of Tambun (LWOT) di sini hari ini.
Keberangkatan baginda berdua turut diiringi, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenaan menggaul ‘yee sang’ dan menyampaikan angpow kepada 66 orang anak yatim daripada tiga buah rumah anak yatim di Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping.
Majlis santapan diiringi persembahan antaranya daripada Kumpulan Selendang Perak, Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh dan Chinese Chin Woo Athletic Association.- KOSMO! ONLINE