IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pemimpin agar tidak melupakan rakyat apabila berkuasa sebaliknya terus menggunakannya untuk membantu golongan itu.
Beliau berkata, atas sokongan rakyat jugalah, beliau diangkat menjadi Perdana Menteri, justeru jasa mereka tidak boleh dilupakan oleh para pemimpin.
“Kita tak boleh lupa, jadi saya selalu ingatkan kawan-kawan apabila ada kuasa, kita gunakan untuk rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan di sambutan Hari Ponggal 2023 Peringkat Parlimen Tambun di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, tindakan diambil bagi membantu rakyat ada kalanya akan mengundang cercaan serta makian dalam arena politik bahkan ada yang menyifatkannya sebagai kurang Islamik.
Bagaimanapun, ia tidak memberi sebarang makna kerana yang paling penting, katanya, adalah usaha untuk menyelamatkan negara.
“Yang penting negeri ini kita kena selamatkan. Apabila saya sebut Malaysia kena selamatkan, itu untuk siapa? Untuk Melayu, Cina, India, orang dayak dan Kadazan. Bukan untuk orang atas.
“Negeri ini kaya hasilnya banyak tetapi kenapa orang kaya, kaya, orang miskin ramai? Sebab wang yang ada guna untuk kontrak dan projek. Curi terlalu banyak,” katanya.
“Saya akan menggunakan kuasa yang ada untuk menyelamatkan negara. Jangan ada yang curi. Bagi bantuan balik kepada rakyat. Ini penting kita kena ingat,” katanya.- KOSMO! ONLINE