fbpx

Padah terjerat jadi keldai akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perbuatan memberi pinjam akaun bank atau keperluan-keperluan bank kepada orang lain boleh mengundang padah. – GAMBAR HIASAN

“SAYA terpaksa mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan oleh orang lain,” ungkap seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Naim ketika membuka bicara.

Mengimbau kembali perkara yang berlaku, Naim berkata, dia telah menjadi mangsa ‘keldai akaun’ di mana akaun bank miliknya digunakan oleh pihak lain untuk menjalankan penipuan.

Malah, dia sendiri tidak sedar bahawa akan menjadi mangsa yang akhirnya membuatkan dirinya ditahan oleh pihak berkuasa.

“Semuanya berlaku setelah saya memberi kebenaran kepada seorang rakan yang dipercayai untuk menggunakan akaun bank saya.

“Saya mempunyai satu akaun bank yang aktif tetapi jarang digunakan. Kebetulan rakan saya meminta untuk menggunakannya seketika.

“Dia menyatakan bahawa akaun bank miliknya ada masalah dan memerlukan satu akaun bank segera kerana ada orang yang akan memindahkan wang kepadanya,” jelas Naim yang berasal dari sebuah negeri di utara Semenanjung.

Tambah Naim, malah rakannya itu berjanji akan memberi sedikit wang kepada Naim sebagai sagu hati kerana meminjamkan akaun bank kepadanya.

Percaya akan rakannya itu dan tertarik dengan sagu hati yang akan diberikan, tanpa berfikir risiko-risiko lain yang mungkin akan dihadapi, dia memberi kebenaran untuk akaun bank miliknya digunakan untuk satu tempoh.

Naim bahkan memberi segala butiran akaun bank yang diperlukan itu bagi memudahkan rakannya membuat pengeluaran ataupun melakukan pemindahan wang.

“Dia memberi sedikit wang kepada saya kerana membantunya dan berjanji akan memulangkan semula akaun bank setelah semua masalahnya selesai.

“Saya tidak menaruh sebarang curiga kepadanya kerana kami juga telah mengenali antara satu sama lain begitu lama,” katanya.

Selepas beberapa ketika dia membenarkan rakannya menggunakan akaun bank miliknya, Naim mendapat panggilan daripada pihak berkuasa untuk meminta dirinya hadir ke sebuah balai polis di Pulau Pinang.

Dia tidak dapat hadir ke balai polis tersebut kerana jarak yang jauh dan tiada kenderaan.

Akhirnya, pihak polis telah datang ke rumahnya untuk mengambilnya bagi disoal siasat dan memberi keterangan.

Jangan sesekali beri orang lain guna kad bank peribadi. -Gambar hiasan

Ketika disoal siasat, Naim telah dimaklumkan bahawa dia merupakan suspek sindiket penipuan dalam talian.

Akaun bank miliknya telah digunakan untuk penipuan tersebut dijalankan dan mangsa telah membuat laporan.

Setelah disoal siasat, Naim akhirnya dibenarkan pulang tetapi dia akan didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut.

Akhirnya, Naim pulang ke rumah dan menceritakan akan hal tersebut kepada ahli keluarganya dan meminta pendapat sama ada di mahkamah dia harus mengaku bersalah atau tidak atas kesalahan yang tidak dilakukan olehnya itu.

“Jika saya mengaku tidak bersalah, saya perlu mengambil peguam untuk membela diri dan ini memerlukan kos yang agak tinggi.

“Saya dan ahli keluarga tidak mempunyai wang yang mencukupi bagi mengupah peguam untuk berbuat demikian,” katanya.

Akhirnya, Naim mengambil keputusan untuk mengaku bersalah di mahkamah kerana merasakan perbuatannya yang memberi pinjam akaun bank tanpa usul periksa suatu kesilapan yang tidak

sepatut dilakukannya.
Naim kemudiannya dikenakan denda oleh pihak mahkamah atas kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Naim menasihati orang ramai di luar sana jangan benarkan akaun bank peribadi digunakan oleh mana-mana pihak kerana risikonya amat tinggi.

Malah, dia sendiri tidak menyangka bahawa hal tersebut akan terjadi kepada dirinya.

Dia menjadikan hal tersebut sebagai satu pengajaran yang tidak akan diulanginya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI