BOGOTA – Seorang lelaki Colombia tidak bernasib baik apabila dia ditahan polis sebanyak tiga kali kerana mempunyai nama sama seperti seorang bos kartel dadah yang digeruni, lapor akhbar Daily Star semalam.
Rene Martinez Gutierrez, 46, menggambarkan dirinya sebagai individu pendiam, lelaki yang sudah berkeluarga, dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Lelaki itu telah menjadi sasaran penguatkuasa undang-undang kerana mempunyai nama yang sama dengan pengedar dadah Peru itu. Dia ditahan sebanyak tiga kali sejak 13 tahun lalu.
Dia pertama kali ditahan pada 2010 selepas pergi ke balai polis di Bogota untuk meminta rekod kehakiman bagi memulakan perniagaan.
Apabila polis memeriksa rekodnya, mereka mendapati terdapat waran tangkap antarabangsa terhadap namanya. Dia ditahan selama lima hari dan pegawai di kedutaan Peru memberitahu dia disalah anggap sebagai pengedar dadah tersebut.
Penahanan kedua berlaku pada 2011 dan Gutierrez terpaksa menghabiskan tempoh dua bulan di penjara La Picota. Dia ditahan selepas dipanggil ke balai polis untuk membuat kenyataan mengenai tempat kerjanya yang dirompak.
“Nama dan tarikh lahirnya sama dengan pesalah yang bersubahat dengan seorang lelaki yang mengangkut 20 kilogram kokain pada 2006,” kata isterinya, Yesenia Contreras kepada laman berita El Tiempo.
Awal bulan ini, Gutierrez sekali lagi ditahan selepas bertemu bapanya yang sakit. Ejen Polis Antarabangsa (Interpol) menahan pesawat yang dinaikinya di landasan sebuah lapangan terbang.
Selepas bertanya nama dan memeriksa kad pengenalan Gutierrez, mereka membawanya pergi dan kini masih dalam tahanan di balai polis Los Martires. – Agensi