PUTRAJAYA – Tindakan seorang lelaki warga asing cuba menyogok anggota polis dengan wang RM100 selepas didapati memandu tanpa lesen akhirnya membawa padah apabila dia direman tiga hari kerana memberi rasuah.
Menurut sumber, lelaki warga Bangladesh itu sedang memandu sebuah kereta di sekitar Putrajaya semalam sebelum ditahan polis untuk pemeriksaan bagaimanapun suspek telah menawarkan wang RM100 agar tiada tindakan dikenakan kepadanya.
“Anggota polis tersebut bagaimanapun telah membawa suspek berusia 30-an itu ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira pukul 2 petang dan dia seterusnya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Jelas beliau, SPRM telah mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga 31 Januari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Katanya, kes seumpama itu merupakan iktibar kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya memberi rasuah kepada mana-mana pihak penguat kuasa bagi tujuan melepaskan diri selepas melakukan kesalahan jenayah. – KOSMO! ONLINE