ROURKELA – Malaysia menutup tirai Piala Dunia Hoki 2023 dengan kemenangan 3-2 ke atas Jepun dalam klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 di Stadium Hoki Birsa Munda semalam.
Barisan pemain Speedy Tigers tidak perlu kecewa mengakhiri kedudukan di tempat ke-13 kerana mereka telah menunjukkan persembahan memberangsangkan sepanjang berada di India.
Malaysia bermula baik apabila menjaringkan gol pertama menerusi variasi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Shello Silverius pada minit kelapan.
Kecemerlangan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman tidak bertahan lama apabila Jepun menjaringkan dua gol menerusi Kaito Tanaka dan Seren Tanaka pada minit ke-24 serta 32.
Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol kedua peribadi Shello pada minit ke-32 sebelum Shahmie Irfan Suhaimi menjaringkan gol di pentas antarabangsa dua minit kemudian.
Pujian harus diberikan kepada para pemain kerana berjaya menghalang Jepun meraih jaringan penyamaan, biarpun pihak lawan memiliki tujuh pukulan sudut penalti.
“Walaupun kita tak capai kedudukan dikehendaki tetapi kita menang tiga, kalah dua dan seri dalam enam aksi Piala Dunia.
“Isu untuk saya adalah kita kalah dalam perlawanan yang salah dan letak kita di posisi ini. Kalau tidak kita dah main di posisi yang lain ataupun suku akhir.
“Berdasarkan statistik keseluruhan, saya bangga dengan para pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya dalam kejohanan ini. Kemenangan hari ini juga bagus untuk naikkan semangat,” kata ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj.