NEW DELHI – Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) akan melancarkan misi saintifik untuk mengkaji Matahari pada Jun atau Julai tahun ini, lapor laman berita Wion News semalam.
ISRO baru-baru ini menerima Visible Line Emission Coronagraph (VELC) yang merupakan muatan utama di atas kapal angkasa Aditya-L1 daripada Institut Astrofizik India (IIA).
VELC adalah misi saintifik pertama India untuk mengkaji matahari. Majlis penyerahan VELC berlangsung di kampus Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Sains dan Teknologi (CREST) IIA yang dihadiri Pengerusi ISRO, Somanath.
Menurut IAA, penentu ukuran, pemasangan dan ujian terhadap VELC berjaya diselesaikan dan merupakan muatan paling mencabar antara tujuh muatan/teleskop yang akan diterbangkan di atas kapal angkasa Aditya-L1.
“Memahami impak Matahari pada Bumi dan persekitarannya telah menjadi sangat penting sekarang dengan Aditya-L1 bertujuan untuk menjelaskan topik ini.
“Ia mengambil masa 15 tahun untuk pembinaan VELC bermula dari konsep hingga siap, dan tempoh ini diperlukan untuk sistem yang kompleks seperti ini,” kata Somanath.
Aditya L1 ialah misi berasaskan ruang angkasa pertama India yang bertujuan mengkaji Matahari dari orbit halo mengelilingi titik Lagrangian sistem Matahari-Bumi 1 (L 1).
Misi itu dikendalikan oleh tujuh muatan di atas kapal Aditya L1 untuk membuat pemerhatian kromosfera, lapisan terluar matahari (korona) dan fotosfera.
Ia akan membuat pelbagai pemerhatian tentang aktiviti suria serta kesannya terhadap cuaca angkasa, kata ISRO. – Agensi