fbpx

Bertembung konsert Blackpink, Bulan Bintang tidak gentar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERTEMBUNGAN lokasi dan tarikh dengan konsert Blackpink pada Mac depan diharapkan tidak menimbulkan masalah kepada peminat.

KUALA LUMPUR – Meskipun berlaku pertembungan tarikh dan lokasi konsert dengan kumpulan K-pop terkenal dunia, Blackpink World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 4 Mac 2023 depan, penganjur Konsert Malam Bulan Bintang tidak gentar dan telah melakukan persiapan untuk memastikan hari tersebut berjalan lancar.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi ketika ditemui Kosmo! Online berkata, mereka sudah melakukan perbincangan awal dengan beberapa pihak untuk memastikan perjalanan konsert mega yang menampilkan lapan artis terkenal tanah air termasuk antarabangsa itu berjalan lancar dan terkawal.

“Kami menerima banyak reaksi daripada peminat Bulan Bintang, penyanyi yang membuat persembahan dan peminat Blackpink ketika kami mengumumkan tarikh dan lokasi konsert yang jatuh pada hari serta tempat yang sama.

“Maka, kami telah membuat perbincangan dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk melanjutkan waktu operasi Transit Aliran Ringan (LRT) selain berharap penonton yang hadir akan menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif untuk mengelakkan kesesakan teruk,” katanya.

Mengambil kira pengalaman terdahulu, Azzim berkata, sebelum ini situasi serupa pernah berlaku apabila berlangsungnya pertembungan aksi final Piala FA di SNBJ dengan konsert Kumpulan Dewa 19 di Arena Axiata pada tahun lalu.

ANTARA barisan artis tempatan yang akan menjayakan Konsert Malam Bulan Bintang iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Salammusik dan Faizal Tahir.

“Melihat situasi itu kami percaya semuanya dapat dikawal dengan baik. Malah kami juga sudah berurusan dengan pihak pengurusan Axiata Arena bagi menyediakan kawasan parkir berbayar untuk peminat konsert Malam Bulan Bintang,” katanya.

Tambah Azzim, konsert Malam Bulan Bintang bakal membawakan muzik Islamik kontemporari yang diiringi band orkestra terkemuka diketuai oleh Chaan.

Antara barisan artis terkemuka tanah air dan antarabangsa yang bakal membuat persembahan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Salammusik, Raihan ft Alif Satar & The Locos, Faizal Tahir, Sabyan dan Opick.

“Konsert ini menyasarkan audiens yang mempunyai gaya hidup moden dan urban, berumur sekitar 25 hingga 40 tahun. Malam Bulan Bintang akan dimeriahkan lagi dengan tempat duduk yang bersudut 360 darjah serta sistem bunyi 360 darjah.

“Setiap tahun kami akan adakan sesuatu yang besar. Seperti contoh, tahun lepas kami muncul di papan iklan digital yang terpampang di persimpangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan menjadi bualan ramai.

“Tahun ini, kami mahu melakukan sesuatu yang dan berbeza. Jadi, timbul idea Malam Bulan Bintang menampilkan barisan artis popular tempatan dan antarabangsa. Jadi, untuk mengadakan konsert di Axiata Arena adalah satu cabaran yang perlu Bulan Bintang sahut,” katanya.

Sementara itu, tiket konsert yang telah mula dijual boleh dibeli secara dalam talian bermula dari RM49 hingga RM199 menerusi laman www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI