PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pagi ini mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan empat negeri.
MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebook berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa daerah di Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah sehingga pukul 9 pagi ini.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Pahang melibatkan daerah Bentong, Temerloh dan Bera.
“Keadaan sama juga diramal berlaku di Negeri Sembilan di daerah Jelebu dan Jempol,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, keadaan sama turut diramal melanda beberapa daerah di Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman.
“Ia juga boleh berlaku di Sabah melibatkan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE