SEREMBAN – Majoriti peniaga makanan di sekitar Seremban di sini tidak mengenakan sebarang caj kepada pelanggan yang membuat pesanan air suam atau air kosong.
Seorang peniaga, Rosmawati Abdul Rahim, 46, berkata, sejak 19 tahun berniaga Mi Jawa Medan Selera Penghulu Cantik di sini, air suam atau air kosong diberikan secara percuma.
“Saya rasa serba salah jika kenakan caj air suam atau kosong kepada pelanggan, tidak kisahlah dia pesan banyak mana pun sehingga 10 gelas sekali pun tetap percuma.
“Kalau peniaga lain hendak kenakan caj tiada masalah, tetapi perlulah berpatutan, 20 sen masih okay,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Penghulu Cantik di sini semalam.
Seorang pekerja kedai, Muhammad Ammar Wan Mohd. Saidi, 28, sebagai peniaga, langkah tidak mengenakan caj sama seperti bersedekah dengan menyediakan minuman tersebut secara percuma.
“Pelanggan sudah makan di kedai kami, jadi kalau nak pesan air suam dan air kosong, kami beri sahaja tanpa bayaran,” katanya.