BAITULMUQADDIS – Seorang lelaki bersenjata Palestin menembak mati sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan tiga yang lain di luar sebuah rumah ibadat di pinggir Baitulmuqaddis semalam.
Portal berita MailOnline melaporkan polis sebagai berkata, lelaki bersenjata itu tiba kira-kira pukul 8.15 malam (waktu tempatan) dan melepaskan tembakan ke atas orang awam sebelum dia dibunuh oleh polis Israel.
Imej di kaca televisyen menunjukkan beberapa mangsa terbaring di jalan raya di luar rumah ibadat berkenaan.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab, manakala serangan itu berlaku pada Hari Peringatan Holokaus Antarabangsa tetapi seorang jurucakap pergerakan Hamas berkata, serangan itu ada kaitan dengan serbuan tentera Israel di kem pelarian Jenin, wilayah Tebing Barat.
Serangan itu menggariskan kebimbangan tentang peningkatan keganasan selepas pertempuran tercetus selama berbulan-bulan di Tebing Barat dan memuncak berikutan serbuan pasukan keselamatan Israel di Jenin Khamis lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan penduduk Palestin. – Agensi