PETALING JAYA – Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan selepas dipecat daripada UMNO kerana tidak yakin dengan keputusan yang dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, ia berikutan proses pemecatan keahliannya itu tidak mengikut proses biasa, sebaliknya dibuat atas kehendak pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, perkara itu dipertikaikan beliau ekoran tidak menerima apa-apa surat tunjuk sebab dan keterangan Lembaga Disiplin seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan parti.
“Bila sudah dipecat, pasti nak kena fikir soal masa depan politik. Apakah langkah seterusnya dan ada minta saya buat rayuan.
“Tetapi saya rasa tak yakin dengan undang-undang rimba yang dipakai oleh presiden yang mana pemecatan itu dibuat tanpa mengikut proses biasa. Kalau hantar pun ia tidak dilayan. Jadi saya rasa buang masa saja nak buat rayuan.
“Kalau inilah cara dia buang saya maka memang tidak ada keadilan (dalam parti),” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediamannya di Bukit Damansara di sini hari ini.
Mengulas berkenaan hala tuju Khairy selepas ini, beliau mengakui menerima beberapa pelawaan daripada parti-parti lain, namun enggan membuat keputusan ketika ini.
“Ramai yang dah mesej, namun tak perlulah saya sebut siapa ataupun daripada parti mana, tetapi saya kata bagi saya masa dulu untuk memikirkan soal masa depan dan juga platform mana yang sesuai.
“(Ini kerana) bagi saya, saya masih lagi orang UMNO walaupun dipecat sebagai ahli. Saya tidak tinggalkan UMNO. Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang pecat saya.
“Hati saya masih lagi UMNO, jadi nak pilih wadah yang lain ini agak susah sebab bukan saya yang nak lompat tetapi kena pecat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE