ROURKELA – Arena hoki tanah air menerima tamparan hebat apabila Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Profesor Datuk Dr. S. Shamala melepaskan jawatannya berkuat kuasa semalam.
Shamala mendedahkan, keputusannya itu adalah kerana mahu memberikan fokus kepada aspek kesihatan memandangkan pernah menjalani pembedahan pada 2019.
Beliau turut menegaskan, tindakannya itu langsung tidak berkaitan dengan keputusan skuad negara menamatkan Piala Dunia Hoki 2023 pada tempat ke-13 selepas menang 3-2 ke atas Jepun di Stadium Hoki Birsa Munda hari ini.
“Ini satu keputusan yang berat kerana saya sudah berkhidmat lama dengan MHC tetapi saya terpaksa lakukannya demi kesihatan. Lagipun saya sudah lama menangguhnya untuk selesaikan kerja-kerja saya dahulu.
“Ia langsung tiada kaitan dengan keputusan Malaysia di Piala Dunia. Malah, saya amat berbangga melihat mereka berjuang terutama ketika menewaskan Chile dan New Zealand sebelum ini.
“Pemilihan (Mesyuarat Agung Tahunan) juga akan berlangsung tahun ini. Jadi saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk saya membuat keputusan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebagai rekod, Shamala sudah berkhidmat selama 24 tahun bersama MHC dan pernah menjawat pelbagai jawatan antaranya setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden. – KOSMO! ONLINE