PETALING JAYA – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan menegaskan beliau sesekali tidak akan merayu atau melakukan ‘u-turn’ terhadap keputusan yang diambil parti itu semalam.
Jelas beliau, walaupun ramai yang mendesak supaya membuat rayuan tetapi baginya prosedur yang diambil oleh pihak yang membuat keputusan itu tersasar daripada prosedur asal.
“Sorry (maaf) saya tidak boleh perkara itu, semua ini tidak mengubah hakikat. Memang kita nak tunjuk kita ‘fighter’ tetapi hakikatnya saya manusia biasa.
“UMNO ini adalah satu-satunya parti yang telah saya berjuang, saya jadi ahli, cipta persahabatan dan sama-sama berjuang. Tiba-tiba dibuat begini, bukan mudah untuk saya telan, tetapi inilah kehidupan, inilah politik,” katanya dalam satu klip video yang dikongsi di laman Facebook hari ini.
Tambah beliau, terlalu awal untuk beliau membuat keputusan dan apa tindakan atau ‘next move’ yang akan dilakukan selepas ini.
“Ini tidak akan mematahkan semangat saya, saya ada kemahuan, keinsafan untuk menyumbang apa cara sekali pun dalam pembangunan agama, bangsa dan tanah air yang lebih murni selepas ini.
“Shahril Hamdan, kalau dah jadi fighter dia tidak akan ‘gostan’ (berundur),” tegasnya.
Pada masa sama, beliau juga tidak pasti atas alasan apa parti tersebut menggantung keahliannya selama enam tahun bermula semalam.
“Semalam saya telah digantung enam tahun oleh parti UMNO, saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Displin, saya tidak pernah dapat apa-apa surat. Saya pun tidak tahu sebab apa mereka gunakan untuk ambil tindakan ini.
“Saya ada baca mesej yang sengaja ditularkan mungkin kononnya saya letak jawatan selaku Ketua Penerangan. Ada juga saya minta Presiden ambil tanggungjawab selepas kekalahan pada Pilhan Raya Umum (PRU).
“Ada juga saya buat video cadangan perubahan dalam UMNO termasuk untuk buat ‘R&D department’. Saya tidak pastilah orang boleh terima sama ada ini adalah sebab yang munasabah,”ujarnya.
Kata beliau lagi, pihak yang membuat keputusan boleh mencipta pelbagai alasan supaya ia boleh diterima oleh orang lain.
“Tapi saya rasa semua orang boleh agak, sebab ataupun motif utama yang mereka ada untuk buat perkara ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE