KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu pihak penganjur yang menyalahgunakan logo kementerian bagi penganjuran acara kerana menganggap ia satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan, pihaknya mendapati ada beberapa penganjur sukan permotoran bertindak menggunakan logo KBS dengan sewenang-wenangnya tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Justeru, beliau memberi peringatan supaya penganjur mengikut prosedur sedia ada dengan memohon lesen daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan memaparkan lesen tersebut selain memastikan litar selamat dan diperiksa Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
“Semua ini adalah peraturan sedia ada, cuma orang tak buat dan mohon, jadi ini bukan perkara baharu dan kita sekadar mahu ingatkan semua pihak supaya ambil tindakan keselamatan jika mahu menganjurkan program.
“Apabila kita sudah maklumkan perkara ini, tidak ada pihak yang boleh cakap mereka tidak tahu perlu dapatkan lesen penganjuran serta berjumpa dengan polis dan MAM,” katanya pada sidang akhbar Penganjuran Acara Sukan Bermotor di Malaysia di Subang Jaya semalam.
Untuk rekod, prosedur tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia selaras dengan Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) yang memperuntukkan syarikat hendaklah memohon lesen untuk beroperasi daripada PJS dalam tempoh 30 hari (acara tempatan) dan 90 hari (acara antarabangsa) sebelum tarikh program.
Sekiranya ada penganjur yang tidak mengikut peraturan sedia ada, mereka boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 selain berdepan tindakan disenarai hitam jika melakukan kesalahan berulang.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya berwaspada dengan sebarang program yang ingin disertai selain mengambil tahu mengenai keselamatan litar serta lesen penganjuran.
“Saya nak maklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia, penganjur dan ibu bapa. Sekiranya anak mahu menyertai acara, periksa dahulu ada lesen penganjuran ataupun tidak serta pastikan litar sudah diperiksa MAM.
“Peraturan memang sudah ada, cuma orang salah guna logo, tidak minta kebenaran kita. Oleh sebab itu kita adakan semak dan imbang sekarang dengan bukan saja tengok logo KBS, malah keluarkan senarai litar,” ujar Hannah.