PETALING JAYA – Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan berlangsung selama 26 hari bermula 1 Februari ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan di laman Facebooknya berkata, turut diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian 2023 membabitkan pemilihan jawatan.
“Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan adalah pada 1 hingga 26 Februari iaitu selama 26 hari.
“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac (Sabtu).
“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac (Sabtu),” katanya hari ini.
Katanya juga, Tan Sri Shahrir Ab Samad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023 dan Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023. – KOSMO! ONLINE.