BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand menembak mati sahabat karibnya sendiri kerana menyangka mangsa adalah seekor babi hutan semasa mereka keluar memburu, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Pada pukul 7 pagi (waktu tempatan), pegawai dari Balai Polis Mae Tha dimaklumkan mengenai kejadian tembakan maut di dalam hutan yang berlaku di mukim Wan Ngern, wilayah Lampang.
Polis kemudian menemui mayat Wuthipong Somthong, 41, dalam keadaan terlentang di lokasi kejadian. Mangsa memakai baju celoreng lengan panjang bersama seluar jeans biru.
Dia terkena satu das tembakan di muka. Peluru senapang patah itu mengakibatkan Wuthipong mati di tempat kejadian.
Sahabat karib mendiang, Arampong, 37, ditemui dalam keadaan terkejut. Dia mendakwa tidak berniat menembak mangsa.
Pada pukul 3.30 petang (waktu tempatan) hari sama, Arampong masih menangis dalam keadaan bingung ketika di balai polis.
Dia memberitahu bahawa Wuthipong mengajaknya keluar memburu di hutan. Mereka berada di hutan sepanjang malam tetapi hanya membawa selaras senapang patah.
Pada waktu pagi, Wuthipong meminjamkan senapang patah miliknya kepada Arampong.
Pada pukul 5 pagi (waktu tempatan), Arampong melihat sesuatu yang disangka sebagai babi hutan di seberang bukit lalu melepaskan tembakan. Dia mendengar Wuthipong menjerit kesakitan dan mendapati dia telah menembak muka rakannya.
Arampong cuba menyelamatkan Wuthipong dengan menghentikan darah dan memberinya air sebelum mangsa meninggal dunia beberapa saat kemudian.
Sambil menangis, Arampong berkata, dia tidak dapat menerima apa yang berlaku. Dia dan mendiang sudah berkawan rapat sejak kecil dan kerap keluar memburu bersama. – Agensi