fbpx

Kritik sosial dalam Santai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA bulan sebelum 2022 menamatkan tirai, Faizal sempat meluncurkan single terbaharu berjudul Santai yang merupakan hasil ciptaan bersama Ezra Kong.

RAMAI barangkali yang lahir sekitar era 1990-an meniti usia remaja atau dewasa dengan lagu-lagu dendangan dan gubahan sosok bernama Faizal Tahir.
Mahakarya Cinta, Kasih Tercipta dan Sampai Syurga, judul lagu tersebut merupakan untaian karya masih berbekas dendangan Faizal, 45, sehingga ke hari ini.

Penulis juga tidak terkecuali mengikuti rapat jalur muziknya. Sekarang mungkin pendekatan digunakan Faizal berbeza ketika awal kemunculannya dahulu.

Kritikan sosial dalam santai

Sekarang muziknya terkandung atau banyak diselitkan kritikan sosial dan lebih santai didengar berbanding usai dia tamat program realiti, One In A Million (OIAM) suatu ketika dahulu.

Tiga bulan sebelum 2022 menamatkan tirai, Faizal sempat meluncurkan single terbaharu berjudul Santai yang merupakan hasil ciptaan bersama Ezra Kong.

Penulis sebenarnya, tak tahu pun Faizal ada melancarkan single baharu selepas kali terakhir berbuat demikian menerusi lagu kolaborasi dengan Amira Othman berjudul Alah Bisa.

Dapat tahu tentang kewujudan lagu daripada ibu di kampung yang menjadikan karya tersebut sebagai ‘ringtone’ dalam telefon pintarnya.

Berbalik tentang kualiti lagu Santai, judulnya barangkali kedengaran bersahaja, namun penuh dengan teguran atau kritikan sosial dan diadun dengan unsur lecucon selamba.

Dari segi nukilan lirik, Faizal dan Ezra bijak memasukkan teguran, namun pada masa sama, menghiburkan pendengar.

‘Manusia takkan pernah puas, kadang macam binatang buas’. Petikan lirik tersebut cukup memberi gambaran tentang realiti masyarakat sekarang yang mudah dipengaruhi perihal bersifat ‘sementara’.

Semua nak cepat. Nak kaya, kurus dan nak putih cepat tanpa memikirkan secara mendalam dampak tindakan dilakukan. Inilah kerja Faizal. Pandai berkarya hingga membuatkan pendengar lupa untuk menghayati mesej tersingkap dalam lagu.

Bunyi senang ‘melekat’

Sementara itu, dari segi komposisi muzik, Santai kaya dengan bunyi-bunyian yang mudah lekat di hati.

Bahagian korusnya sahaja perdana kali dengar, terus terperap di minda dan sukar untuk dilepaskan. Hasilnya, terus terngiang-ngiang di fikiran dan melaungkan bahagian tersebut.

Bahagian paling penulis suka adalah ketika pemuzik memainkan saksofon. Bunyi itu sangat ‘mahal’.

Juga bahagian ketika penyanyi itu menyanyikan lirik umpama bisikan syaitan memberi peringatan kepada mereka yang terus-menerus melakukan kesilapan atau berbuat dosa.

Kritikan sosial yang padu, namun pada masa sama, masih menjalankan tugas menghibur.

Sebagai seseorang yang meminati kerja muzik Faizal, figura itu berkelana jauh.

Jauh perjalanan dan banyak telah ditempuhinya dari sudut muzik. Semua genre muzik telah ‘ditapau’ termasuklah rock, pop rock, heavy rock, balada, funk, hip-hop, soul dan rencam elemen lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI