PETALING JAYA – Operasi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga pukul 2.00 pagi bersempena dengan beberapa acara yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, hari ini.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan pagi ini berkata, ia juga bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka meningkat berikutan konsert mega, penyanyi dan komposer legenda dari India, AR Rahman akan berlangsung pada malam ini.
“Operasi kesemua stesen akan turut dilanjutkan bagi membolehkan penumpang menuju ke destinasi akhir manakala operasi bas Rapid KL bagi laluan-laluan yang terpilih akan dilanjutkan sehingga pukul 2.30 pagi,” katanya.
Sementara itu, Prasarana juga menasihatkan para penumpang untuk menggunakan laluan alternatif yang disediakan untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil berikutan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya.
Ujarnya, bagi mengelakkan kesesakan, para penumpang turut dinasihatkan agar terus membeli token perjalanan pulang sebaik sahaja tiba di Bukit Jalil, ataupun menggunakan kad Touch ‘n Go yang mempunyai baki mencukupi.
“Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Anggota Polis Bantuan tambahan akan ditempatkan di stesen-stesen utama bagi mengawal pergerakan penumpang.
“Pihak Prasarana meminta penumpang agar mematuhi peraturan ketika menggunakan perkhidmatan rel dan bas, termasuk sentiasa memakai pelitup muka.
“Kami memohon maaf di atas kesulitan akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.