PETALING JAYA – Bekas ratu cantik, Miss World Malaysia 2008 yang kini merupakan ahli akademik, Dr. Soo Wincci berkongsi rasa bangga dengan kejayaan luar biasa dicipta ‘seniornya’, Tan Sri Michelle Yeoh yang menjadi anak tempatan pertama menerima pencalonan Academy Awards.
Wincci, 38, juga menyeru mana-mana anak seni Malaysia yang mempunyai impian besar agar membuktikan kepada dunia dengan mengikuti jejak langkah yang ditunjukkan Michelle dan individu-individu lain di Hollywood.
“Saya pasti kejayaan tidak datang bergolek buat Michelle. Datang sana (Hollywood), tak boleh hanya dengan bakat lakonan.
“Michelle sekarang adalah seorang ‘bos’ di sana. Apa yang saya maksudkan dengan bos adalah, dia bukan hanya berlakon. Beliau ada produksi dan terbitkan banyak projek filem di sana.
“Hollywood tak perlukan lambakan bakat (lakonan) lagi. Orang sana cari ada pakej keseluruhan. Dah terlalu banyak bakat lakonan di luar negara terutama Hollywood,” kata Wincci yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tambahnya lagi, penting untuk membina nama di dalam negara terlebih dahulu sebelum berkelana di negara orang.
“Henry Golding sebelum terkenal di Hollywood, dia bina nama di Malaysia. Saya masih ingat kami mula dari bawah.
“Masa saya menang Miss Malaysia pada 2008, dia pun baru pulang dari luar negara. Selalu jumpa dia di banyak acara di sini. Dia seorang yang sangat merendah diri dan rajin.
“Tak senang bina nama di Hollywood. Henry pun sekarang dah buat kerja-kerja penerbitan di sana.Untuk menjenamakan diri di Hollywood, kena ada asas juga dalam negara. Perlu ada strategi dan korek lebih dalam apa kita nak mahukan dalam kerjaya seni.
“Pada masa sama, kena sedar kalaulah satu hari nanti kerjaya di sana dah tak meriah, kita boleh pulang ke Malaysia dan masih mencari rezeki di tanah air sendiri,” ujar Wincci yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia penerbitan.
Terdahulu, bukan hanya menjadi orang Malaysia pertama, Michelle juga mencatat kejayaan sebagai orang Asia pertama tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik ke-95.
Figura hebat itu merupakan Miss World Malaysia 1983 sebelum membina nama di pentas Hollywood. – KOSMO! ONLINE