KOTA BHARU – Dua beranak melecur selepas sebuah kedai makan dan dua buah bengkel musnah dalam kebakaran membabitkan tiga lot kedai di Kampung Belukar, Panji di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.59 pagi itu, mangsa, Hayati Husin, 53 bersama anaknya, Mohd. Azlan Mohd. Zain, 30, masing-masing melecur pada bahagian tangan dan muka semasa cuba menyelamatkan diri apabila mereka terjaga daripada tidur.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum seramai 32 anggota bomba sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.07 pagi.
Menurutnya, semasa tiba di premis itu, hampir 95 peratus kedai makan dan bengkel terbabit sudah terbakar.
“Hayati dan Mohd. Azlan dipercayai terjaga ketika sedang tidur di dalam kedai makan ekoran terasa bahang api sebelum mereka melarikan diri keluar dari premis tersebut.
“Kebakaran tersebut menyebabkan muka dan tangan dua beranak itu melecur hampir 10 peratus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Zukeri, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 6 pagi.
Tambahnya, punca kejadian dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE.