fbpx

Band rock kesayangan generasi Y yang ‘terkubur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RED Hot Chili Peppers dan My Chemical Romance, antara dua band besar dunia yang kini hilang dari radar.

BUAT individu kelahiran tahun 1980 hingga 1995 juga dikenali sebagai generasi Y, kugiran atau kumpulan rock memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka.

Ketika di bangku persekolahan terutama bagi yang belajar di sekolah berasrama, muzik ‘keras’ daripada kumpulan rock menjadi peneman pada ketika atau usai menelaah pelajaran.

Muzik umpama terapi menghadapi hari-hari mencabar di sekolah yang penuh suka duka. Dahulu, album fizikal menjadi koleksi katalog di dalam almari. Buku-buku latihan dipenuhi bukan kerja sekolah tetapi dengan lirik lagu band-band kegemaran.

Satu pengalaman fasa dalam kehidupan yang sangat memberi pengajaran. Justeru, HibGlam merangkumkan antara band popular era tersebut yang berdepan pembubaran.

Evanescence

SIAPA mampu melupakan fenomena lagu Bring Me To Life sekitar 2003? Biarpun ahli kumpulan Evanescence bersilih ganti, tiada siapa dapat menafikan kehebatan band yang vokalis utamanya merupakan seorang wanita bernama Amy Lee.

Biarpun tidak mengumumkan pembubaran, Evanescence kini sepertinya hidup segan, mati tak mahu. Pada 2014, Lee dan Evanescence meninggalkan syarikat rakaman yang menaikkan nama mereka dan bertukar menjadi artis indie.

Hujung tahun 2016, Lee menyatakan Evanescence pada waktu itu, sedang bekerja untuk album keempat, Synthesis (2017), namun respons daripada peminat tidak lagi seperti zaman supremasi mereka. Pada 2021, Evanescence meluncurkan album kelima, The Bitter Truth, namun masih belum mampu meledakkan semula nama dalam industri muzik.

Linkin Park

KUMPULAN legenda ini tidak berkubur, namun perjalanan karier mereka bersama seakan-akan terhenti selepas kematian mengejut ahli kumpulan yang juga merupakan vokalis utama, mendiang Chester Bennington. Dia membunuh diri pada 20 Julai, 2017.

Sejak itu, Linkin Park berehat, namun kembali mengumumkan aktif dalam dunia muzik pada April 2022.

Untuk rekod, band tersebut merupakan antara kumpulan paling ‘laku’ abad ke-21 dan antara pemuzik paling laris dunia dengan jualan album melebihi 100 juta unit seluruh dunia.

My Chemical Romance

TERKENAL dengan antem Welcome to the Black Parade, My Chemical Romance atau MCR antara band yang sangat ‘dekat’ dengan anak-anak milenial. Jodoh tidak panjang, MCR mengumumkan pengunduran pada 22 Mac 2013 selepas ditubuhkan pada 2001.

Setahun kemudian, album kompilasi May Death Never Stop You dirilis dalam bentuk album ‘bungkus semula’ The Black Parade (2016). Pada Oktober 2019, band yang diketuai Gerard Way itu mengumumkan persembahan reunion yang berlangsung di Los Angeles.

The Click Five

BARANGKALI tidak ramai yang cakna akan kewujudan band bernama The Click Five. Waktu mereka popular dengan lagu seperti Jenny, MCR juga sedang memacu populariti. Ditubuhkan tahun 2004, bagaimanapun perjalanan mereka tamat pada 14 Januari 2013.

Mereka memberitahu ingin memberi fokus terhadap karier serta kehidupan masing-masing selepas lama menyepikan diri. Ketika mengumumkan perpisahan, mereka berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan.

Panic! at the Disco

Band ini ditubuhkan pada 2004 bertitik tolak daripada hubungan rapat sejak zaman kanak-kanak ahli kumpulan iaitu Urie, Ryan Ross, Spencer Smith dan Brent Wilson. Sejak 2004, kugiran ini telah melahirkan empat album studio iaitu A Fever You Can’t Sweat Out (2005), Pretty. Odd. (2008), Vices & Virtues (2011) dan Too Weird to Live, Too Rare to Die! (2013).

Mereka juga sempat menghasilkan tiga album ‘solo act’ iaitu Death of a Bachelor (2016), Pray for the Wicked (2018) dan Viva Las Vengeance (2022). Malangnya, pada 24 Januari lalu, ketua kumpulan Urie secara rasminya mengumumkan bahawa kumpulan tersebut dibubarkan selepas konsert jelajah Viva Las Vengeance Tour.

Red Hot Chili Peppers

Ditubuhkan pada 1982, Red Hot Chili Peppers merupakan antara OG band kesayangan generasi Y. Sebelum MCR dan barangkali Green Day, band tersebut sudah lama wujud dan menghipnosis jutaan peminat seluruh dunia.

Terkenal dengan lagu seperti Under the Bridge, kugiran rock popular tersebut mengumumkan pada 15 Disember 2019 bahawa selepas 10 tahun, mereka memilih berpisah dengan gitaris, Josh Klinghoffer dan Frusciante kembali menyertai band tersebut. Sejak 1982, Red Hot Chili Peppers melahirkan 13 buah album biarpun menyaksikan ramai ahli kumpulan keluar dan masuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI