fbpx

Aina Afieyah derita 10 jari melekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA Afieyah kelihatan ceria selepas menjalani pembedahan untuk memisahkan jarinya yang melekat kerana penyakit kulit rapuh yang dialaminya baru-baru ini.

IPOH – Impian seorang kanak-kanak untuk mempunyai jari sempurna kian tercapai apabila pembedahan untuk memisahkan anggota yang bercantum akibat penyakit kulit rapuh berjaya baru-baru ini.

Aina Afieyah Muhamad Nazreen Shah, 6, gembira apabila boleh menggerakkan jarinya dan berharap untuk segera sembuh bagi membolehkannya menguruskan diri sendiri.

Bapanya, Muhamad Nazreen Shah Musthafa, 34, berkata, pembedahan dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Selepas dua minggu, Afieyah boleh menggerakkan jarinya ketika balutan dibuka bagi mencuci luka.

“Dia suka mewarna dan bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis. Sebab itu apabila tahu dia akan menjalani pembedahan, dia sangat teruja,” kata jurugambar sambilan itu ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Muhammad Nazreen, anaknya sering bercakap ingin memegang jari-jemarinya dan tidak sabar untuk menguruskan diri sendiri.

Tambahnya, pembedahan sepatutnya dilakukan lebih awal, namun tertangguh ekoran pandemik selain keadaan kesihatan anaknya yang tidak mengizinkan.

“Kesemua jari tangan kanannya melekat akibat luka berulang ketika kecil. Pembedahan juga dijalankan bagi membuang 18 batang gi­ginya yang rosak,” katanya.

Sementara itu, menceritakan sikap Afieyah, Muhamad Nazreen Shah berkata, walaupun menderita sakit kulit yang kro­nik, anaknya itu sama sekali tidak pernah mengeluh mahupun merungut.

“Dia tak pernah merungut mengenai keadaan fizikalnya, dia sudah terbiasa sejak lahir. Dia budak yang mudah faham dan matang selain kuat semangat,” katanya.

Ujar Muhamad Nazreen, Afieyah tak pernah putus asa walaupun luka pada badannya terlalu banyak, manakala zikir dan doa menjadi penguat sema­ngatnya.

Tambahnya, seorang lagi anaknya, Muhammad Mikhail, 1, juga menghidap penyakit sama, namun keadaannya tidak terlalu serius.

“Bila diuji begini, saya dan isteri amat teliti dalam aspek penjagaan luka. Setiap bulan saya perlu sediakan antara RM5,000 hingga RM7,000 untuk beli set cuci luka, pembalut khas bagi menutup bahagian kulit yang terkoyak dan lampin pakai buang,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun Muhamad Nazreen Syah 162085541395 (Maybank) atau hubungi di talian 011-3651 2046.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI