fbpx

500 premis koperasi Ar-Rahnu tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Fattah ( tengah) dan Amran (dua kiri) ketika merasmikan premis Ar-Rahnu tersebut. FOTO: SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Sektor koperasi menyasarkan penyertaan sebanyak 500 premis berdaftar yang menjalankan perniagaan pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu di seluruh negara tahun ini.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 365 premis di bawah gerakan koperasi sudah beroperasi setakat ini.

Kata beliau, pemerhatian mendapati pertumbuhan perniagaan Ar-Rahnu menunjukkan sambutan positif semua pihak termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Selain patuh syariah, ia salah satu sumber bagi mendapatkan pembiayaan makro kredit yang lebih mudah, pantas dan terjamin.

“Justeru, kita menjangkakan penambahan sebanyak 135 lagi premis baharu sekali gus merancakkan lagi sektor koperasi negara,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Perniagaan Ar-Rahnu dan Kelana Emas di Setia Alam di sini, hari ini.

Kedai cawangan keempat Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) itu dirasmikan Naib Pengerusi Eksekutif SKM, Amran Abd. Kadir dan turut dihadiri Pengerusi KOPUTRA, Zaharuddin Alias.

Jelas Abdul Fattah, pihaknya amat menggalakkan semua koperasi terutama berskala besar mempelbagaikan lagi perkhidmatan mereka.

“Selain sektor sedia termasuk peruncitan, Ar-Rahnu antara perniagaan yang mampu menjana pendapatan dan pulangan tinggi.

“Kita jangan hanya fokus kepada sesuatu perkara namun boleh
memperkembangkan ia kepada sektor lebih luas kepada ahli koperasi dan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, perkembangan pesat Ar-Rahnu turut mampu membantu koperasi menyumbang peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi kepada negara.

Sementara itu, Zaharuddin berkata, KOPUTRA menyasarkan pembukaan sebanyak 10 cawangan baharu menjelang 2027.

“Kami sememangnya sentiasa mempelbagaikan sektor perniagaan berimpak tinggi termasuk Ar-Rahnu dan kedai emas. Tambahan, kami turut menyediakan perkhidmatan latihan, bimbingan dan buku simpanan emas kepada pelanggan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI