MUAR – Seorang ibu muda dua anak dari Bakri di sini, mengharapkan ihsan orang ramai bagi mendapatkan dana berjumlah RM68,400 untuk merawat penyakit kanser yang dihadapinya sejak lima tahun lalu.
Nurhidayah Khalid, 29, berkata, kehidupannya gelap seketika apabila disahkan menghidap kanser limfoma pada April 2017 selepas mendapatkan rawatan kerana kerap mengalami demam dan keletihan.
“Saya mendapat tahu mengenai barah selepas leher kanan semakin membengkak. Sebelum itu, saya perasan ada benjolan, ingatkan bengkak biasa, lama-kelamaan ia menjadi besar.
“Saya mendapatkan rawatan di hospital dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser limfoma,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Nurhidayah bagaimanapun menggagahkan diri bangkit melawan kesakitan apabila mengenangkan nasib dua anaknya yang berusia tiga dan tujuh tahun.
Selepas menjalani pembedahan membuang kelenjar dan rawatan kemoterapi, Nurhidayah disahkan sembuh pada tahun lalu.
“Selepas lapan bulan, kanser menyerang kembali. Pada Oktober lalu, saya merasai simptom sama dan lihat leher sebelah kiri mempunyai dua kelenjar. Doktor memaklumkan kanser sama menyerang dan kini berada pada tahap tiga,” katanya.
Nurhidayah bernasib baik kerana suaminya, Mohd. Arif Amat Sabilam, 37, memberi kata-kata semangat untuk terus melawan penyakit tersebut.
“Kini, saya bagaikan ada sinar baharu apabila doktor beritahu ada ubat yang boleh merawat kanser tahap tiga iaitu Keyturda 10MG, namun harganya pula adalah RM17,100 sebotol.
“Saya memerlukan empat botol ubat tersebut yang berjumlah RM68,400,” katanya.
Tambah Nurhidayah, sehingga kini dana terkumpul adalah sebanyak RM30,000 hasil sumbangan saudara dan orang ramai.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 1514-182-325-92 atas nama Nurhidayah Khalid.