fbpx

Sindiket bekal tenaga kerja asing guna dokumen palsu diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee menunjukkan antara pasport palsu yang dirampas daripada sindiket berkenaan pada sidang akhbar di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kelicikan sebuah sindiket membekalkan tenaga kerja asing dengan menggunakan dokumen palsu tidak berpanjangan selepas Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu sebuah premis di Klang, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dibuat susulan operasi risikan yang dijalankan selama tiga bulan selain penyamaran oleh anggota penguat kuasa imigresen sebagai pekerja asing juga majikan.

Beliau berkata, serbuan ke atas sindiket yang dikenal pasti telah beroperasi sejak lapan bulan lalu itu turut berjaya menahan tujuh suspek berusia 28 hingga 50 tahun termasuk dua lelaki warga Bangladesh yang merupakan dalang utama kegiatan tersebut.

“Siasatan mendapati, sindiket berkenaan mengeluarkan dokumen serta pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu kepada warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen dan dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga RM800,000 setakat ini.

“Setiap pekerja asing perlu membayar RM5,000 hingga RM6,000 bagi mendapatkan pelekat PLKS dan mereka kemudian akan dibekalkan kepada kilang atau syarikat lain yang memerlukan pekerja,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Turut ditahan dalam serbuan tersebut adalah tiga lelaki yang juga warga negara Bangladesh dan dua rakyat tempatan termasuk isteri kepada dalang sindiket berkenaan.

Menurut Khairul Dzaimee, turut dirampas 62 pasport pelbagai negara serta 17 pasport Bangladesh disyaki palsu, 13 disyaki PLKS palsu dan wang tunai berjumlah RM234,000 serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM120,000.

Ujar beliau, sindiket didapati menubuhkan sebuah syarikat pembinaan dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa, syarikat dan majikan yang terdesak untuk mendapatkan sumber tenaga kerja dengan cepat.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat mengikut Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Kesemua suspek warganegara asing kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya dan dua suspek warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan di bawah akta yang sama,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menasihatkan syarikat dan majikan supaya menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi mendapatkan sumber pekerja asing yang sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI