fbpx

Piala FA: Man. City turun tanpa Foden, De Bruyne mungkin direhatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE BRUYNE berkemungkinan akan direhatkan ekoran perubahan taktikal menyebabkan Guardiola bakal menurunkan pemain yang lebih sesuai untuk mengekang Arsenal. – AFP

MANCHESTER – Manchester City berdepan tugas sukar untuk melayakkan diri ke pusingan ke­lima saingan Piala FA apabila perlu menyingkirkan Arsenal pada aksi pusingan keempat yang akan berlangsung di Sta­dium Etihad awal pagi esok.

Lebih parah, The Citizens mungkin tidak dapat menggunakan khidmat pemain sayap, Phil Foden yang dilaporkan mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 14 Januari lalu.

Pengurus City, Pep Guardiola mengakui, Foden berkemungkinan besar tidak akan terlibat dalam pertemuan menentang Arsenal sekiranya pemain antarabangsa England itu belum cergas sepenuhnya.

“Buat masa ini, Foden belum berada pada tahap terbaik kerana mengalami kecederaan ketika bertemu United. Saya fikir ia mungkin disebabkan oleh pertembungan yang berlaku antara dia dan (Aaron) Wan-Bissaka.

“Apabila dia terjatuh, kaki­nya berdepan masalah dan ia sangat menyakitkan. Saya boleh nampak Foden sangat bergelut, tetapi saya harap dia menggunakan waktu rehat sebaiknya untuk kembali cergas,” katanya.

Biarpun Foden tidak dapat diturunkan, Guardiola tidak perlu menekan butang panik memandangkan beliau masih memiliki Jack Grealish yang semakin menunjukkan permainan positif.

“Sekarang kami hanya tunggu laporan daripada pasukan perubatan sama ada dia sempat pulih atau tidak untuk aksi menentang Arsenal. Sekiranya tidak dapat bermain, kami akan tunggu pada perlawanan seterusnya,” ujar Guardiola.

Pada masa sama, bekas jurulatih Barcelona itu tidak menolak kemungkinan untuk menggugurkan pemain tengah, Kevin De Bruyne bagi memberi laluan kepada pemain yang lebih sesuai bagi mengekang pergerakan pemain Arsenal.

Terdahulu, Guardiola pernah meletakkan pemain antarabangsa Belgium itu di bangku simpanan dan menurunkan penyerang, Julian Alvarez ketika City menewaskan Tottenham Hotspur 4-2 dalam saingan Liga Perdana Jumaat lalu.

“Saya dan Kevin (De Bruyne) sudah mengenali satu sama lain selama tujuh tahun, jadi saya tahu sama ada dia berada dalam keadaan bersedia ataupun tidak. Kadang-kadang saya perlukan pemain berbeza di posisi tersebut.

“Secara jujur, Kevin juga pernah berdepan situasi sukar yang memerlukan pemain lain mengambil tanggungjawab itu. Kami ada skuad yang besar, jadi ada pemain spesifik untuk tugas berkenaan,” jelas pengendali dari Sepanyol itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI