LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap aksi menentang Manchester City pada pusingan keempat saingan Piala FA di Stadium Etihad awal pagi esok sebagai sesuatu yang sangat sukar.
Pengendali dari Sepanyol itu tanpa berselindung mengakui tidak sanggup untuk berdepan ‘sifu’ yang pernah membimbingnya ketika beliau menjadi pembantu kepada bekas jurulatih terbaik dunia itu.
Biarpun mengakui Guardiola sebagai rakan karib, Arteta bagaimanapun mengharapkan barisan pemainnya dapat menewaskan City kerana beliau menganggap dirinya sebagai individu yang dahagakan kemenangan.
Justeru, beliau berharap kedua-dua pasukan menyajikan aksi menghiburkan pada perlawanan tersebut selain menegaskan, pasukan terbaik akan menempah slot ke pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung Mac nanti.
“Secara jujur, saya lebih rela bertemu orang lain berbanding beliau (Guardiola) kerana saya mahukan yang terbaik untuknya. Apabila kami perlu bersaing dalam keadaan seperti ini, kedua-duanya mahukan yang terbaik untuk pasukan masing-masing.
“Apa yang pasti, akan ada perasaan yang agak pelik apabila kami membuat perhitungan nanti. Bagaimanapun, inilah takdir yang sudah ditentukan, jadi kami akan hadapi cabaran ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap perebutan takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Arsenal dan City pada musim ini tidak akan menjejaskan hubungan baiknya dengan Guardiola.
“Saya sentiasa percaya kami mampu ubah nasib pasukan untuk kembali menjadi pencabar kejuaraan dan ia berlaku pada musim ini. Saya yakin ia (perebutan liga) tidak akan membuat hubungan kami menjadi renggang.
“Kami berdua sentiasa mahukan yang terbaik serta mempertahankan pasukan masing-masing. Beliau akan sentiasa menjadi orang paling penting dalam hidup saya kerana banyak memberi tunjuk ajar selama ini,” ujar Arteta.
Sementara itu, penjaga gol The Gunners, Aaron Ramsdale memberi amaran kepada pemain-pemain serangan supaya membuktikan kemampuan masing-masing sekiranya tidak mahu kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kepada Leandro Trossard.
“Trossard datang ke sini bukan sekadar untuk menjadi pelengkap, dia hadir dengan sasaran untuk merampas tempat dalam kesebelasan utama. Seperti apa yang berlaku kepada (Bernd) Leno, ketiga-tiga pemain serangan perlu berjaga-jaga,” katanya. – AGENSI