KOTA KINABALU – Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama dua rakan karam di perairan Karambunai di ditemui selamat hari ini.
Mangsa, Morris Dulin, 69, ditemui selamat dalam keadaan terapung dengan berpaut pada tong bekas minyak lebih 30 jam di kawasan perairan Sepanggar sekitar pukul 1.45 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki berkenaan ditemui oleh Kapal KD Sunda, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Jelasnya, mangsa kemudiannya dibawa balik ke pangkalan TLDM untuk tindakan pengesahan dan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian jam 6 pagi semalam, dua rakannya yang berusia 41 dan 42 tahun ditemui selamat manakala mangsa hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai.
Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabung, Tuaran itu dilaporkan keluar ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, cuaca bertukar buruk sehingga mengakibatkan bot dinaiki ketiga-tiga mangsa karam.
Dua rakan mangsa yang dikatakan memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan dan melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.-KOSMO! ONLINE