PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji mencemarkan al- Quran yang dilakukan oleh Edwin Wagensveld yang merupakan seorang ekstremis anti-Islam dan pemimpin berhaluan kanan di The Hague, Belanda pada 22 Januari 2023.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia begitu kecewa melihat perbuatan Islamofobia yang berulang hanya dalam beberapa hari meskipun mendapat kecaman global.
“Ketaksuban dan perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap Islam mesti dihentikan segera.
“Malaysia mengulangi pendirian bahawa sifat perkauman dan sebarang bentuk penghinaan terhadap kitab suci tanpa mengira agama adalah tidak boleh diterima sama sekali dan harus dikecam,” katanya hari ini.
Ujarnya, Malaysia percaya bahawa hak kebebasan bersuara adalah bersekali dengan tanggungjawab tertentu dan tidak boleh disalah guna.
“Malaysia menggesa semua pihak yang berkaitan mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan dialog, persefahaman dan mempromosikan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia berbilang agama serta budaya.
“Susulan itu, Malaysia menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) untuk segera menangani isu berkenaan.
“Ia bagi mencari penyelesaian terbaik sekali gus mempromosikan penghormatan serta perlindungan sepenuhnya kitab suci agama di seluruh dunia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE