IPOH – Seorang pengutip besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang pengawal keselamatan, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Saravanan, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K. Gobi Nathan, 44, di belakang sebuah restoran di Laluan Klebang Restu 2, Medan Klebang Restu, Chemor, Ipoh pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang, 5 Julai 2015.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, T. Vijayandran.
Sepanjang prosiding kes bermula Disember 2021 seramai tujuh saksi pendakwaan telah dikemukakan dengan pembelaan memanggil lima saksi.
Sejurus prosiding berakhir, Saravanan yang pada mulanya kelihatan tenang dilihat menangis sambil memeluk seorang wanita dipercayai ibunya sebelum dibawa ke lokap. – KOSMO! ONLINE