fbpx

Langkawi tidak semeriah dulu, pelancong kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedatangan pelancong ke Langkawi dikatakan semakin berkurangan ketika musim cuti persekolahan berbanding tahun-tahun sebelum ini. – Gambar hiasan

LANGKAWI – Peniaga dan penggiat industri pelancongan mendakwa, pulau peranginan ini tidak lagi semeriah dahulu yang menerima kunjungan pelancong dalam jumlah banyak setiap kali musim cuti persekolahan atau cuti umum.

Mereka memberitahu, jumlah pelancong pada cuti sempena Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah pada hujung tahun lalu didapati berkurangan.

Rata-rata mereka menyalahkan trip feri yang kurang dan tidak menentu hingga menyebabkan pelancong tidak lagi berminat masuk ke Langkawi.

Menurut peniaga laksa ikan seekor di Pantai Kuala Muda, Sharuzainee Abdul Hamid, 46, dia pernah menjual sehingga 120 mangkuk laksa sehari ketika cuti sekolah pada tahun 2019

“Namun, sekarang walaupun cuti umum dan cuti sekolah, kami hanya dapat jual antara 50 hingga 60 mangkuk laksa sehari.

“Kalau hari biasa, jumlah jualan akan jadi lebih sedikit kerana tidak ramai orang masuk Langkawi untuk melancong. Macam mana nak masuk, jadual feri pun tidak menentu,” katanya di sini semalam.

Bagi peniaga restoran, Abdul Halim Husain, 45, hasil jualannya menurun sehingga 60 peratus pada cuti sekolah hujung tahun lalu dan sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini berbanding tiga tahun lalu.

“Hasil jualan harian saya me­nurun antara 40 hingga 60 peratus pada cuti baru-baru ini dan menjadi lebih kurang pada hari biasa.

“Masalah jadual feri menyebabkan peratus kemasukan pelancong turun mendadak dan memberi kesan kepada peniaga,” katanya.

Sementara itu, seorang ejen pelancongan, Safwan Jamil, 32, berkata, status bebas cukai yang diberikan kepada pulau ini ibarat tidak bermakna kerana keba­nyakan barangan yang dibeli pelancong adalah mahal.

Katanya, ada juga barangan yang dikecualikan daripada status bebas cukai tersebut.

“Harga makanan yang dijual di tempat tumpuan pelancong se­perti di Pantai Chenang juga mahal dengan alasan kos bara­ngan di sini lebih mahal berbanding di tanah besar.

“Saya bukan mahu mereka jual terlampau murah, tetapi harga­nya biarlah bersesuaian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI