fbpx

KPDN akan wujudkan ‘Menu Rahmah’, harga bawah RM5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin sewaktu melakukan lawatan mengejut di beberapa kedai makan sekitar Bandar Baru Bangi, hari ini.

PETALING JAYA – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan ‘Menu Rahmah’ di setiap kedai makan dan restoran dalam masa terdekat khusus untuk membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan bermasak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menu tersebut akan ditawarkan pada harga di bawah RM5 dan ia merangkumi nasi, lauk sama ada seketul ayam atau ikan bersama sayur-sayuran.

“Saya mencadangkan diwujudkan satu menu makan tengah hari ini bawah RM5 iaitu nasi, seketul ayam atau ikan (ikan rakyat) bersama sedikit sayur. Ia bertujuan untuk membantu golongan yang sangat memerlukan.

“Bagaimanapun menu lain seperti menu premium contohnya udang, sotong, ikan siakap atau jenahak kita tidak usik, itu terpulang kepada mereka (pembeli), mereka ada pilihan. Fokus kita kepada golongan miskin tegar yang memerlukan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan mengejut di beberapa kedai makan sekitar Bandar Baru Bangi hari ini sebagai sebahagian daripada Ops Menu 3.0.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, satu perjanjian memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai bersama beberapa persatuan restoran dan kedai makan bermasak seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran Tomyam Malaysia (Pertom) dalam masa terdekat.

“Nampaknya setakat ini, semua persatuan bersedia untuk mewujudkan menu tersebut yang dinamakan Menu Rahmah atau menu kasih sayang.

“Kami akan mengumumkan MoU dalam masa terdekat dengan pengusaha kedai makan termasuk kedai tom yam yang akan turut menawarkan menu ini sehingga lewat malam.

“Saya harap peranan kementerian sedikit sebanyak dapat membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI