SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu khutbah Jumaat menjadi antara plaftrom wajib bagi umat Islam di negara ini untuk merangsang dan menyegarkan kembali pemikiran mereka mengenai isu-isu berkaitan syiar Islam.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan dan memberi kredit kepada barisan Ahli Jawatankuasa Khutbah dan Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tahun 2021-2023 yang telah menghasilkan teks-teks khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang sejak tahun lalu.
“Topik yang dipilih serta isi kandungan khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu amat bertepatan dan sesuai dengan situasi semasa.
“Malah, ada kaitan dengan isu-isu yang sedang didepani oleh umat Islam dan masyarakat di negara ini.
“Beta berpandangan isi kandungan khutbah Jumaat yang difokuskan juga adalah padat, tepat dan mudah difahami oleh masyarakat dengan penggunaan bahasa yang ringkas dan jelas,” titahnya menerusi Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Antara tajuk-tajuk yang menyentuh tentang hal-hal semasa yang pernah diketengahkan dalam khutbah Jumaat seperti Bahana Nikah Sindiket, Rasuah, Bahaya Pemikiran Islam Liberal, Kewajipan Mengundi Dalam Pilihanraya, Banggakah Kita Jadi Tukang Viral Fitnah di Media Sosial serta Sultan Adil dan Bijak Dambaan Rakyat.
Sultan Sharafuddin bertitah, lazimnya akan disembah maklum dengan isi kandung beberapa hari sebelum sehingga membuatkan baginda sendiri teruja menantikan kupasan tajuk-tajuk yang dipilih.
Justeru, Sultan Sharafuddin berharap Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor yang dipengerusikan Datuk Salehuddin Saidin serta Panel Khutbah yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad akan meneruskan momentum cemerlang ini.
“(Ini termasuk) dalam menampilkan dengan tajuk, naratif dan isi kandungan khutbah Jumaat yang relevan dengan keadaan semasa,” titahnya. – KOSMO! ONLINE