PUTRAJAYA – Kerajaan sedang memperhalusi beberapa langkah bagi membantu peniaga dan pengusaha makanan menangani kenaikan kos operasi termasuk menyebar luas model tenaga kerja sambilan (gig workforce) dalam sektor berkenaan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi yang menjadi sebahagian usaha menyeluruh menstrukturkan kembali ekonomi negara.
“Sementara kita meningkatkan akses pengguna kepada maklumat harga yang membantu mereka membeli dari kedai yang harganya lebih seiring dengan harga purata setempat, saya juga sedia maklum beberapa cabaran pengusaha restoran yang berdepan kenaikan kos lain seperti pekerja akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
“Ada beberapa langkah sedang diperhalusi pelaksanaannya untuk membantu peniaga dan pengusaha restoran menangani kenaikan yang mereka tanggung termasuklah potensi menyebar luas model tenaga kerja sambilan (gig workforce) dalam sektor restoran dan kedai makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, Rafizi menyambut baik pandangan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan, peniaga dan pengguna dalam menangani kenaikan harga makanan serta minuman.
Katanya, pandangan Jawahar adalah selari dengan pandangan kerajaan supaya pengguna peka kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dibeli selain bijak memilih kedai serta restoran yang menawarkan harga lebih baik berbanding pesaing mereka.
“Jadi, dalam masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan untuk membincangkan secara dua hala langkah-langkah boleh diambil bersama oleh kerajaan dan kumpulan itu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE