ROURKELA – Pengadil dari Malaysia, R. Anbananthan meluahkan rasa teruja apabila berjaya merealisasikan impiannya untuk mengadili perlawanan di pentas berprestij Piala Dunia Hoki 2023.
Anbananthan, 36, adalah satu-satunya pengadil negara yang terpilih pada edisi kali ini dan juga kedua dari Malaysia selepas Eric Koh pada Piala Dunia 2018 sebelum juruterbang itu bersara tahun lalu.
Bagi Anbananthan, ia merupakan satu penghormatan tertinggi dalam kariernya kerana terpilih antara 16 pengadil Piala Dunia 2023 daripada kalangan 25 yang bertugas dalam saingan Liga Pro FIH.
“Ramai lagi pengadil di luar sana tetapi nama saya yang terpilih. Ini adalah Piala Dunia pertama saya dan sepatutnya Eric bersama saya tetapi dia ambil keputusan mahu bersara.
“Saya langsung tidak gementar tetapi teruja dan seronok kerana bukan senang mahu ke Piala Dunia. Satu impian saya dah tercapai, tinggal satu sahaja lagi iaitu Sukan Olimpik.
“Saya ada peluang tetapi penilaian prestasi saya perlu bagus sepanjang Piala Dunia ini selain Sukan Asia dan Liga Pro FIH nanti. Kalau semua bagus, mungkin ada peluang ke Olimpik Paris 2024,” katanya.
Anbananthan kini sudah mengadili tiga aksi edisi ini bermula Perancis berdepan Afrika Selatan (16 Januari), Belanda bertemu Chile (19 Januari) dan Chile menentang Argentina dalam klasifikasi tempat kesembilan hingga 16 di Stadium Hoki Birsa Munda semalam.
Menariknya, nama Anbananthan turut terpahat dalam sejarah hoki dunia kerana dia mengadili kemenangan 14-0 Belanda ke atas Chile yang merupakan rekod baharu dunia sebagai jaringan terbanyak dalam satu perlawanan di pentas Piala Dunia.