fbpx

Ditengking orang dikenali lagi sakit – Nabila Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA RAZALI mengakui dikritik dan ditengking insan yang dikenali dalam industi lebih menyakitkan berbanding daripada dikutuk netizen.

PETALING – Pernah dihakimi industri dan dikecam netizen, Nabila Razali mengakui teguran individu dikenali sebenarnya lebih berbisa dan menyakitkan berbanding kutukan khalayak umum.

Pemilik nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd. Razali berkata, menegur itu tidak salah untuk kemajuan seseorang anak seni namun janganlah sampai memalukan atau menjatuhkan motivasi.

“Sudah tentu lebih sakit jika orang yang bercakap (beri teguran) datang daripada yang kita kenal dan orang itu pun mencari rezeki di periuk sama.

“Setiap orang akan ada ‘highs and lows’. Hari low (buruk) kita itu yang orang suka jadikan bahan seumur hidup.

“Kita manusia biasa ada hati dan perasaan. Kadang-kadang, datang hari yang tak kena, kita macam ‘kenapa ya, kita tak usik orang, orang usik kita’.

“Saya percaya, kita bekerja dalam bidang ini bekerja secara profesional dan saya berharap, mana-mana pihak pun selepas ini, bila nak bercakap, fikirlah dahulu,” katanya kepada Kosmo! Online, semalam.

Terbuka meluahkan pandangan tentang situasi hangat Sissy Iman dan Mas Idayu, Nabila, 31, yang ditemui pada penggambaran drama berjudul Peluang Ke-3 berkata, ilmu sepatutnya perlu disampaikan dengan cara mendidik.

“Nak komen orang ke apa, gunakan ilmu yang ada. Bukan ambil contoh daripada orang lain untuk bantai orang lain.

“Bagi saya, itu bukan cara kita untuk menyampaikan ilmu. Kalau kita contohi orang-orang lain yang jadi juri, ada yang siap mengajar balik berbanding ‘membantai’ seseorang itu,” ujarnya.

Ditanya tentang individu-individu yang mempraktikkan tugas sebenar juri iaitu mengkritik namun pada masa sama mengajar di Malaysia, Bella menyebut beberapa nama dan sebab mengapa mereka patut dicontohi.

Jawab pelantun pelantun lagu Peluang Kedua itu: “Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli MS. Mungkin ada juga beberapa nama lain yang pernah jadi juri bagus dalam memberikan ilmu tapi saya tak tahu.

“Yang saya sebut itu, memang yang saya tonton program dijurikan mereka. Saya rasa penjurian seperti mereka yang diperlukan.

“Saya faham program realiti, produksi memerlukan sesuatu untuk ‘panaskan’ program. Saya faham tapi pada masa sama, orang yang lebih berpengalaman kena suntik ilmu dalam kita nilai orang.

“Jangan sekadar bash (tegur) tapi apa sahaja ilmu yang peserta dapat. Takut hanya mengganggu mental mereka, waktu itu.

“Saya taklah nak sokong mana-mana pihak tapi saya percaya, mana-mana kental pun jiwa seseorang itu, kalau dah depan beribu-ribu penonton tak termasuk di rumah, mesti mental akan terganggu.”

Sejak hujung minggu lalu, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan teguran ‘berbisa’ juri program realiti Famili Duo, Mas Idayu terhadap Sissy Imann sehingga penyanyi itu berkurung di rumah dan tiada motivasi untuk meneruskan persaingan dalam program tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI