SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) masih belum membuat keputusan mengenai kerjasama yang akan dibuat parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu kini dalam peringkat menyusun dan melihat strategi yang terbaik termasuk berkenaan parti mana yang akan BN bekerjasama dalam pilihan raya itu nanti.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kerjasama di antara parti yang membentuk kerajaan Pusat ketika ini merupakan pilihan yang ada untuk BN.
“Persiapan untuk menghadapi PRN ini, mesti dibuat dengan teliti, bagi pihak BN, kami buat persiapan jentera dahulu, bagaimana cara untuk kami hadapi PRN ini nanti, siapa sekutu kami, itu belum ditentukan dan diputuskan lagi.
“Di peringkat parti, masih lagi menyusun dan melihat strategi yang terbaik untuk dilakukan bagi hadapi PRN yang bakal diadakan ini.
“Saya belum lagi dapat menjangkakan strategi macam mana nak buat, dengan siapa mahu berganding bahu dan juga cara mana, itu belum cerita lagi mengenai pembahagian kerusi, banyak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Seremban di sini hari ini.
Mohamad yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN menambah, kerjasama yang ada di peringkat kerajaan Pusat termasuk bersama Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan besar diteruskan untuk menghadapi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kelantan itu.
“Kemungkinan besar ada, apa pilihan yang kita (BN) ada, dalam keadaan begini, tidak banyak piihan, pilihan yang ada terhad, (BN) mesti melihat pilihan mana yang terbaik,” jelasnya.
Katanya, BN juga telah membentuk jawatankuasa-jawatankuasa kecil bagi menjalankan ‘post mortem’ susulan kekalahan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Ujar beliau, dapatan hasil ‘port mortem’ itu kelak termasuk jumlah undi yang diperoleh semasa PRU15 mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan dijadikan rujukan untuk menghadapi PRN.
“Pertama mahu lihat post mortem, isu dan masalah dan baru lihat cara dan strategi bagaimana menghadapi PRN ini. Apa sebab, kami mahu tahu juga, tidak boleh buat hanya tutup mata, tidak boleh menidakkan apa yang telah berlaku kerana PRU15 merupakan, PRU terburuk dalam sejarah BN.
“Tidak begitu banyak (keputusan) dengan siapa kami akan bekerjasama akan datang hasil dari post mortem itu, hasilnya, sudah jadi sejarah, BN melihat jalan ke hadapan, ke arah mana kami mahu pergi. Selepas kami ada asas dan melihat masalah, kami mesti menyesuaikan strategi kami dengan kekuatan dan kelemahan kami,” kata Mohamad lagi. – KOSMO! ONLINE