BHUBANESWAR – Juara bertahan, Belgium tempang tanpa khidmat pakar pukulan sudut penalti, Alexander Hendrickx menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia Hoki 2023 menentang Belanda di Stadium Kalinga malam ini.
Pemain pertahanan berusia 29 tahun itu terpaksa digugurkan daripada skuad utama dan digantikan oleh Maxime Van Oost disebabkan kecederaan lutut dialami ketika aksi terakhir Kumpulan B minggu lalu.
Ia merupakan tamparan besar buat Red Lions kerana Hendrickx adalah penjaring terbanyak Piala Dunia 2018 dan Sukan Olimpik 2020 masing-masing dengan tujuh serta 14 gol.
Bagaimanapun, Hendrickx percaya rakan sepasukannya mampu mencatat kemenangan ke atas Belanda Belanda walaupun Belgium tewas 1-2 dalam pertemuan terakhir mereka di Liga Pro FIH hujung tahun lalu.
“Saya sangat sedih dan kecewa terpaksa melupakan kempen Piala Dunia ini kerana kecederaan (lutut). Apa yang saya boleh lakukan adalah menjadi peminat No. 1 Belgium di sini.
“Saya akan memberikan sokongan kepada rakan sepasukan dan saya percaya kami boleh melepasi halangan seterusnya. Sasaran kami satu iaitu mempertahankan trofi ini,” katanya.
Juara Sukan Olimpik 2020 itu seakan-akan terasa kehilangan Hendrickx apabila dilihat bergelut menentang New Zealand sebelum menang 2-0 di suku akhir pada Selasa lalu.
Belanda mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil tunggal Asia, Korea Selatan 5-1 kelmarin, manakala satu lagi aksi malam ini menyaksikan pertemuan Australia menentang Jerman.