fbpx

Banjir: Penduduk pasrah rugi hingga RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hatta membersihkan kediamannya di Jalan Balau 2, Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor yang dilanda banjir selepas dibenarkan pulang hari ini.

KOTA TINGGI – Mangsa banjir di Jalan Balau, Taman Desaru Utama (TDU) di sini mengalami kerugian RM10,000 hingga RM15,000 susulan banjir yang melanda kawasan perumahan mereka Selasa lalu.

Mangsa banjir, Nurul Syuhada Md. Saad, 31, yang tinggal di Jalan Balau 10, TDU berkata, dia hanya pasrah apabila melihat perkakas elektrik seperti peti ais dan perabot terapung-apung dalam kejadian banjir di rumahnya.

“Banjir kali ini paling teruk. Tidak ada apa yang boleh diselamatkan, air naik dengan terlalu cepat. Peti ais, tilam dan almari baju semua kena buang.

“Hanya dokumen sempat diselamatkan. Ekoran banjir ini saya alami kerugian kira-kira RM15,000,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Azmee Zainal Abidin, 37, juga mengalami kerugian antara RM10,000 hingga RM15,000 apabila perabot dan peralatan elektrik termasuk dua motosikal ditenggelami air.

Dia yang bekerja di Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang dekat sini mendakwa, banjir berlaku akibat keadaan perparitan yang tidak sistematik.

“Air dari parit di Taman Sri Penawar bersebelahan Taman Desaru Utama menjadi punca. Air dari parit di Taman Sri Penawar belum sempat masuk ke saluran utama, tetapi masuk ke taman ini terlebih dahulu dan mengakibatkan banjir,” katanya.

Bagi Hatta Jaafar, 38, dari Jalan Balau 2, TDU pula berkata dia sudah dibenarkan pulang ke rumah hari ini ekoran keadaan banjir yang pulih.

Katanya, kejadian banjir berlaku disifatkan paling buruk dan meminta agar sistem perparitan dari Taman Sri Penawar diubah iaitu tidak berkongsi atau masuk ke parit Taman Desaru Utama sebaliknya dilencongkan terus ke saluran utama sebelum masuk ke laut.

“Perparitan yang sistematik perlu dibina bagi mengelak banjir berulang kerana penduduk sudah letih dan kecewa dengan banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI