PETALING JAYA – Rimas dengan golongan menumpang populariti yang tidak sepatutnya, penyanyi Ayda Jebat mengajak khalayak berhenti daripada terus memuat naik video momen Mas Idayu memberi komen pedas terhadap Sissy Imann dan Naim Daniel dalam program Famili Duo minggu lalu.
Ayda yang juga salah seorang peserta Famili Duo berkata, perkara sebegitu bukanlah satu hal yang perlu dijadikan bahan jenaka dan tidak seharusnya dilakonkan semula oleh individu lain.
“Kepada semua, tak kisahlah siapa pun termasuk pempengaruh media sosial, artis sendu yang popular atau tidak, berhenti memparodikan tentang Sissy, Naim dan Mas Idayu.
“Tidak kelakar dan tak perlu hendak menumpang dengan isu yang ada atau menjadi minyak menambah bara api,” kata pelakon berusia 31 tahun berkenaan dalam InstaStorynya semalam.
Penyanyi lagu Temberang itu juga menasihatkan orang ramai agar menggunakan cara dan isu lain sekiranya ingin menjadi popular.
Malah, dia juga menasihatkan Naim dan Sissy akan kembali bersaing dengan lebih bersemangat untuk konsert mingguan akan datang.
“Cari bahan dan cara lain untuk menjadi content creator (pencipta kandungan) terkenal.
“Untuk Sissy dan Naim, kembalilah dengan lebih bersemangat dan kuat.
“Fikir positif, bersemangat dan insya-Allah semuanya dipermudahkan,” katanya lagi.
Minggu lalu, tular isu Sissy, 28, menerima kritikan teruk daripada Mas Idayu sehingga dikatakan merajuk dan sanggup menjual album baharunya dengan harga ‘derma’ iaitu RM20.
Selain itu, muncul beberapa video parodi melakonkan semula ‘babak’ Sissy menangis ketika dikritik Mas Idayu selepas mendendangkan lagu Jampi milik Hael Husaini dalam irama keroncong. – KOSMO! ONLINE