PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah Liyana selamat berangkat menunaikan ibadah umrah bersama dua anak kesayangannya, Syaikhul Islam dan Sumayyah pagi tadi seperti dirancang.
Keberangkatan pelakon itu dihantar oleh keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perkongsian Sarah, 37, dalam Instagram menuai doa dan harapan daripada orang ramai agar pelakon itu memperoleh umrah yang mabrur sekali gus pulang ke tanah air kelak dengan hati yang tenang.
“Tok Abah doakan perjalanan umrah kamu dan anak-anak semoga dipermudahkan serta mendapat hikmah sebesarnya ya.
“Balik Malaysia nanti maklumkan Tok Abah ya nak,” tulis pakar motivasi, Datuk Fadzilah Kamsah.
“Semoga diberi ketenangan. Selepas ini semoga tiada cerita ‘dia’ yang menyakitkan agi.
“Semoga boleh tengok Sarah dan anak-anak gembira, tutup cerita duka. Allah gantikan dengan kegembiraan,” tulis seorang peminat.
Meskipun kelihatan gembira, namun perkongsian pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu sedikit sebanyak menjentik rasa sedih dalam kalangan peminat.
Rata-ratanya tumpang simpati dan kecewa kerana keberangkatan tiga beranak itu ke Tanah Suci langsung tidak dipedulikan suami dan bapa mereka.
“Terasa sedih bila tengok gambar ini, terbayang betapa indahnya kalau ada ayah bersama dengan kedua-dua anak ini.
“Dapat menikmati dan mencipta memori indah ini bersama anak-anak yang semakin membesar,” kata seorang pengguna Instagram.
Sarah sebelum ini memaklumkan dia mahu mengerjakan ibadah umrah dengan tenang selepas selesai memfailkan perceraian terhadap suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, 16 Januari lalu.
Kemelut rumah tangga pasangan itu berada di kemuncak selepas Sarah nekad memfailkan cerai sejurus Syamsul mengesahkan sudah mengahwini isteri keduanya, Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE